Ibadah menghidupkan jiwa insan,
menggetarkan hati beku oleh maksiat
SESUNGGUHNYA kehidupan paling bernilai bagi seorang insan bermula dari saat dilantunkan taubat, dijatuhkan butir air mata dan diperah segenap perasaan yang mengaku berdosa. Taubat bukan hanya hak milik sesetengah mereka yang berdosa, kotor dan jelik pada pandangan manusia.
Taubat juga amalan nabi dan rasul,
orang salih serta pejuang ilmu yang mengamalkan agamanya dengan segenap
pengorbanan. Baginda SAW mengajar umatnya sentiasa berasa diri hina di hadapan
Allah walaupun selepas berada pada kemuncak amal yang paling ikhlas.
Sehingga tidaklah lahir pada jiwa
orang yang beramal itu rasa suci dan hebat berbanding orang lain. Betapa
ramainya orang terseleweng selepas melakukan amal salih, iaitu apabila
menganggap diri sempurna dan memandang rendah pada orang lain.
Belitan iblis terlalu halus, ia
datang tanpa disedari orang beramal. Untuk itu, Baginda SAW mendidik sahabat
supaya membiasakan diri melafazkan istighfar selesai saja mengerjakan
sembahyang dan amal salih yang mungkin dicemari riak.
Istighfar yang memerlukan istighfar
lainnya, begitulah hakikat apabila berada pada kemuncak ilmu dan amal. Semakin
tinggi ilmu dan makrifah seorang hamba kepada Allah semakin jatuh hatinya rebah
ke tanah, mengaku tidak mampu memikul amanah dan menyesal atas setiap detik
berlalu dalam keadaan bermaksiat kepada Allah dan menganiaya manusia.
Alangkah peliknya, hamba yang tidak
mengambil berat mengenai istighfar. Mengapa? Apakah kerana amalnya sudah cukup
untuk menghapus kejahatannya, atau hatinya sudah mencapai tahap keikhlasan yang
murni?
Apakah ilmu yang dimiliki mampu
mendekatkan dirinya kepada Allah? Apakah sudah lahir akhlak mulia di mata
manusia sehingga kedudukannya bagaikan permata berkilauan di tengah-tengah
mereka?
Sedangkan Nabi SAW dan sahabat yang
sudah berada pada tahap ketinggian dan kemuliaan di sisi Allah menyediakan
masa, membuat pengakuan taubat pada penghujung malam pada waktu sahur. Tidakkah
hamba lalai dan sedikit ilmu itu lebih memerlukan taubat untuk menghidupkan
kembali jiwa mereka?
Sesungguhnya Rasulullah SAW berdoa
dalam sembahyang malam dengan lafaz yang bermaksud:
“Ya Allah, ampunilah kesalahanku,
kebodohanku, sikapku yang malampaui batas dalam urusanku, dan semua dosaku yang
Engkau lebih mengetahui mengenainya daripada diriku sendiri. Ya Allah,
ampunilah kesungguhanku, kelalaianku, kesalahanku dan kesengajaanku yang semua
itu ada pada diriku.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)
Jika kekasih Allah masih menganggap
dirinya berdosa, mengapa manusia biasa tidak sudi mengaku hina? Sesungguhnya
tangisan taubat umpama air hujan yang menyuburkan tanah, menghasilkan rimbun
daun dan lebatnya buah.
Ia menghidupkan jiwa insan yang
hampir mati, menggetarkan hati beku oleh maksiat dan membuka jalan bagi
mengenali Tuhan. Oleh itu, hanya yang pernah merasai kemanisan taubat memahami
hakikat ini.
Mereka tidak pernah jemu membuat
pengakuan dalam hati dan lisan setiap kali melakukan suatu perbuatan, mengharap
Allah mengampuni apa yang tersilap secara disedari atau tidak. Kemanisan taubat
bukan hanya dapat dirasai dalam hati tetapi ia janji Allah bagi mereka yang
menepati.
Begitulah khabar daripada al-Quran
dan sunnah mengenai keutamaan taubat. Ada tiga kesenangan yang layak dimiliki
pencinta taubat. Pertama, dikurniakan kenikmatan berpanjangan. Kemudian
terhindar daripada pelbagai musibah dan ketiga, menjadi penghapus dosa.
Adapun dalilnya disebut dalam
al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang menjadi cahaya bagi orang mencari jalan
keselamatan.
Nabi Hud menyeru umatnya untuk
kembali kepada Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu meminta ampun
kepada Tuhanmu dan bertaubat kepada-Nya. Nescaya Dia akan memberi kenikmatan
yang baik (secara terus menerus) kepada kamu.” (Surah Hud, ayat 3)
Begitu juga Nabi Nuh yang bersabar
selama 950 tahun menasihati umat supaya bertaubat. Al-Quran merakamkan
kenyataan Nabi Nuh dengan janji yang turun daripada Allah yang bermaksud:
“Maka aku (Nuh) katakan kepada
mereka: Mohonlah ampun kepada Tuhanmu. Sesungguhnya Dia Maha Pengampun. Nescaya
Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyakkan harta dan
anak-anak kamu, mengadakan kebun-kebun dan sungai-sungai untuk kamu.” (Surah
Nuh ayat, ayat 10-12)
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah
mengulas mengenai nikmat dikurniakan Allah kepada orang yang bertaubat, bahawa
kenikmatan itu mencakupi jasmani dan rohaninya. Kerana ramai orang yang nampak
saja bahagia dengan harta benda tetapi menderita jiwa dan rohaninya.
Sedangkan Allah tidak sesekali
menurunkan kesusahan, kecemasan dan penderitaan kepada orang yang mencintai
taubat dengan rezeki menggembirakan hati. Oleh itu, sesiapa merasai kesedihan
dan suka merungut dengan pemberian Allah hendaklah memperbaharui taubatnya. Boleh
jadi tiada keberkatan dalam rezekinya disebabkan dia meninggalkan taubat.
Yang kedua, taubat menjadi benteng
melindungi seorang hamba daripada musibah. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah tidak sesekali mengazab
mereka, sedang kamu berada di antara mereka. Dan tidaklah pula Allah akan
mengazab mereka sedang mereka meminta ampun.” (Surah Al-Anfal, ayat 33)
Sesungguhnya ada dua jenis musibah
dalam kehidupan manusia iaitu musibah yang memberi pengajaran semata-mata untuk
mempertingkatkan keimanannya kepada Allah, berlaku kepada orang Islam dan
musibah berupa azab yang menutup peluang serta merta kepada orang kafir yang
dilaknat.
Walau bagaimanapun, musibah tetap
menjadi suatu kenyataan menakutkan bagi orang mukmin dan mereka disuruh
berlindung kepada Allah daripada sebarang mudarat yang boleh membahayakan iman.
Hakikatnya, musibah paling dahsyat
bagi orang mukmin adalah terhalangnya diri daripada merasai kenikmatan
bermunajat kepada Allah. Hal ini pernah diungkapkan melalui luahan jiwa seorang
pendeta bani Israil seperti mana disebut dalam kitab Shaydul Khatir.
Ibnul Qayyim mengungkapnya: “Pendeta
bani Israil itu berkata: Wahai Tuhanku, betapa aku sering melakukan maksiat
kepada-Mu, tetapi mengapa tak kunjung datang azab-Mu menimpa diriku?
Didatangkan ilham kepadanya melalui ilmunya: Alangkah besarnya azab Allah
kepadamu, tetapi engkau tidak mengetahui hakikatnya. Tidakkah engkau berasa
dirimu dihalangi daripada merasai kemanisan beribadat kepada-Nya?”
Untuk itu benteng bagi orang beriman
adalah taubat kerana dengan istighfar sesukar apapun musibah yang ditelan ia
tidak akan menjejaskan agamanya dan hatinya pun sentiasa diliputi kemanisan
iman. Ia adalah janji dan pertolongan Allah kepada pencinta taubat.
Keutamaan taubat yang terakhir, ia
menjadi penghapus dosa dan pembuka pintu syurga seperti firman Allah yang
bermaksud:
“Dan orang yang apabila melakukan
perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu
memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa
selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka
mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di
dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Surah
Ali Imran, ayat 135-136)
Sesungguhnya sesiapa yang mencari
kasih sayang Allah, carilah ia dengan taubat, sesiapa yang menjual dunia untuk
mendapatkan akhirat janganlah lupakan taubat, kerana walaupun amal soleh
berjaya dikumpulkan tidak mustahil dicemari hasutan syaitan.
Tangisilah dirimu, biarkan syaitan
berputus asa. Hakikatnya, tangisanmu itu membuat syaitan menangis juga. Seperti
mana dia menangis melihat seorang hamba bersujud kepada Allah, sedangkan dia
dulu tidak mahu bersujud.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar