IBNU Abbas RA ialah sahabat Nabi SAW
yang digelar sebagai hibr al-ummah atau tinta umat kerana kehebatan
ilmu, khasnya dalam memahami al-Quran seperti doa yang dimohon Baginda
untuknya. Ibnu Abbas mempunyai pendirian unik dan patut kita miliki agar kita
hidup tenang, tenteram dan bersahaja seperti beliau.
Ibnu Abbas berkata:
“Dalam diriku ada tiga keistimewaan;
tidaklah hujan turun ke muka bumi, melainkan aku pasti memuji Allah dan
bergembira dengannya, meskipun aku tidak mempunyai kambing dan unta; tidaklah
aku mendengar seorang hakim yang berlaku adil kecuali aku sentiasa mendoakan
kebaikan untuknya walaupun aku tidak mempunyai perkara apa pun yang mesti dia
putuskan; dan tidaklah aku memahami maksud suatu ayat dalam kitab suci Allah,
melainkan aku selalu ingin orang lain juga mengetahui isi ayat itu seperti aku
mengetahuinya.”
Demikian antara kecintaannya untuk
melakukan kebaikan terhadap sesama manusia, penyebaran nilai keutamaan di
antara mereka, usaha untuk menyelamatkan hati mereka nasihat untuk semua
makhluk. Ia datang dari lubuk hati yang suci dan ikhlas yang menganggap semua
insan sebagai saudara dan bukan insan sebagai sesama makhluk Allah.
Ini berlainan dengan apa yang
dikatakan bekas Timbalan Presiden Amerika Syarikat era Bush, Al-Gore Khamis
lalu di Oxford University, England seperti dikutip Fox News, Jumaat lalu. Dalam
ucapannya, dia berkata: “Perlu diketahui oleh anda semua, melawan perubahan
iklim yang semakin parah, harus sama kuatnya ketika dunia melawan Hitler dengan
ideologi Nazi.” Sebelumnya, dia berkata: “Kita mengenal Winston Churchill
sebagai wira dalam Perang Dunia II”.
Dalam melawan pemanasan global, kita
memang memerlukan kebijakan politik. Namun itu saja tidak cukup, ia perlu
sesuatu yang lebih untuk melawan itu semua. Menyamakan Hitler dengan pemanasan
global ialah persamaan tidak masuk akal bagi fikiran yang lurus dan tenang, namun
bagi fikiran yang kusut, ia mungkin sesuatu yang masuk akal. Hitler ialah
manusia manakala pemanasan global adalah bencana alam. Kedua-duanya berbeza
kecuali dari sudut natijah berdasarkan orang yang memandangnya.
Ketika fikiran manusia terganggu
oleh sesuatu, maka perkara luas menjadi sempit dan yang bagus menjadi buruk
serta sesuatu yang menggembirakan berubah sedih.
Dalam hadis sahih disebutkan seorang
Arab Badwi solat berjemaah bersama Rasulullah SAW. Pada saat tasyahhud, dia
membaca doa: “Ya Allah, berikan rahmat-Mu kepadaku dan kepada Nabi Muhammad dan
janganlah Engkau berikan rahmat-Mu kepada selain kami.”
Selesai solat, Rasulullah berkata
kepada orang Badwi itu: “Engkau membuat sesuatu yang luas menjadi sempit.”
Sesungguhnya rahmat Allah itu meliputi segala sesuatu firman Allah maksudnya:
“…dan Dia Maha Penyayang kepada orang yang beriman.” (Surah al-Ahzab: 43)
Ketika fikiran tenang segala sesuatu
di depan mata nampak jernih dan semua berjalan lancar serta mudah. Sebaliknya,
ketika fikiran kusut segala di depan kita nampak buntu dan semua terhenti atau
tertutup kerana dalam fikiran tenang ada tafa’ul, optimistik dan dalam
fikiran kusut ada tasya’um, pesimistik. Tafa’ul adalah natijah
daripada tauhid, manakala tasya’um adalah natijah daripada syirik.
Kita diperintah Allah dan selalu
membaca doa diajar-Nya bermaksud:
“(Mereka berdoa dengan berkata):
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri
petunjuk kepada kami dan kurniakan kepada kami limpah rahmat di sisi-Mu; sesungguhnya
Engkau jua Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.” (Surah Ali Imran: 8.)
Fikiran tenang ialah buah keimanan
yang membimbing kita untuk melaksanakan perintah Allah dan menjauhi
larangan-Nya dikenali sebagai takwa.
Orang beriman dan memiliki fikiran
tenang sentiasa beramal salih. Ketika beramal dia teringat janji Tuhan
bermaksud:
“Dan sesiapa yang mengerjakan
sebarang apa daripada amal yang salih, sedang dia beriman, maka tidaklah
(seharusnya) dia berasa takut dianiaya atau dikurangkan sedikit pun daripada
pahalanya.” (Surah Taha: 112)
Padahal dalam ayat sebelumnya, Allah
menegaskan bermaksud:
“Dan segala muka akan tunduk dengan
berupa hina kepada Allah yang Maha Hidup, lagi yang kekal mentadbirkan makhluk
selama-lamanya; dan sesungguhnya rugi dan hampalah orang yang menanggung dosa
kezaliman.” (Surah Taha: 111)
Seorang yang berfikiran tenang tidak
tergopoh-gopoh ketika melakukan kesilapan atau kesalahan kerana dalam dirinya
tertanam pengajaran yang diperoleh daripada hadis bahawa Rasulullah SAW sedang
solat berjemaah. Selesai solat ada seseorang berdiri dan berkata kepada
Rasulullah: “Aku melakukan suatu dosa dan harus dikenakan hukuman, maka
jatuhkanlah hukuman itu padaku.”
Rasulullah SAW bertanya: “Apakah
tadi engkau solat berjemaah bersama kami?” “Ya,” jawab orang itu. Rasulullah
pun bersabda: “Pergilah, Allah sudah mengampuni dosamu.” (Hadis riwayat Muslim)
Bukankah Allah berfirman maksudnya:
“Dan sesiapa yang berbuat dosa atau
berbuat zalim terhadap dirinya sendiri, kemudian memohon ampunan kepada Allah,
nescaya dia akan mendapati Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah
al-Nisa: 110)
Dengan ketenangan fikiran, empat
perkara boleh kita sedari.
Pertama, jika kita tidak hidup dalam batasan hari ini, tentu
fikiran kita melayang ke mana-mana. Seterusnya, urusan menjadi kacau-bilau dan
kedukaan kita lebih banyak. Inilah makna hadis yang bermaksud: “Apabila engkau
berada pada waktu pagi, jangan menunggu datangnya petang dan apabila engkau
berada pada petang, jangan menunggu datangnya pagi”.
Kedua, melupakan masa lalu dan semua yang terjadi. Tumpukan diri
pada masa kini kerana memikirkan masa lalu dan sesuatu yang sudah selesai
adalah kebodohan dan menyebabkan kegilaan.
Ketiga, tidak menyibukkan diri dengan masa depan, sebab ia masih
berada di alam ghaib. Jangan fikirkan sehingga ia datang.
Keempat, jangan mudah tergoncang oleh kritikan. Teguhkan pendirian
menghadapinya dan sedarlah kritikan itu mengangkat harga diri setara dengan
kritikan itu.
Di samping doa Nabi Musa AS untuk
menenangkan fikiran ada juga doa yang dibaca oleh belia beriman yang
menyelamatkan diri daripada kezaliman penguasa ketika itu. Ia juga doa untuk
penjernihan fikiran kita. Doa itu bermaksud:
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami
rahmat daripada sisi-Mu dan beri kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk
keselamatan agama kami.” (Surah al-Kahfi: 10)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar